My protection!

Berita Harian Online | Manusia tiada sifat malu ibarat hilang maruah diri

SESEORANG akan kelihatan menarik dan terpuji di sudut mata masyarakat bila diri dihiasi dengan sifat terpuji yang mencerminkan kebeningan hati yang tersentuh sinaran ajaib iman. Salah satu sifat yang terbit dari ufuk keimanan ialah sifat malu yang pernah menjadi pakaian peribadi anbia.

Sebab itu dikatakan, malu adalah sebahagian daripada iman. Malu dan iman adalah dua perkara yang memang tidak boleh dipisahkan buat selama-lamanya seperti masin dan garam.
Rasulullah SAW bersabda; “Malu dan iman itu adalah teman seiring jalan, jika yang satu diangkat nescaya terangkatlah pula yang satu lagi” (hadis riwayat Muslim)
Daripada maksud hadis itu dapat kita rumuskan orang yang pemalu itu semestinya orang yang beriman dan setiap mukmin itu sudah tentu kaya dengan sifat malunya (kerana Allah SWT)

Kebanyakan orang yang dangkal imannya sanggup membuang sifat malu demi memburu kesenangan dunia yang hanya bersifat sementara, akibatnya mudah tergelincir ke kancah kehinaan dan tanpa harga diri. Apabila sifat malu sudah padam, seseorang tidak nampak lagi mana yang benar dan mana yang salah, tidak lagi menyedari bahawa setiap perbuatan dan tingkah lakunya sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT. Terledak di dalam fikiran mereka yang utama ialah kehendak nafsu akan dipenuhi.

Rasulullah SAW bersabda; “Bahawasanya setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu ialah apabila engkau tidak malu, maka kerjakanlah yang engkau kehendaki” (hadis riwayat Bukhari)

Hadis ini bukan bermakna satu galakan agar berbuat apa saja yang disukai, tetapi satu peringatan dan ancaman. Jika tidak memiliki sifat malu, maka berbuatlah sesuka hati kerana sesungguhnya Allah akan memberi balasannya. Seperti yang termaktub dalam sepotong ayat bermaksud; “Berbuatlah sesuka hatimu, sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan” (QS Fussilat: 40)

Pada masa kini kita dapat saksikan betapa banyaknya kepincangan dan kemerosotan perilaku dan sahsiah terutama umat Islam bangsa kita khususnya golongan remaja. Ini satu hakikat yang terpaksa ditelan walaupun pahit berpunca dari terhakisnya sifat malu yang seharusnya dipertahankan oleh setiap individu muslim.

Maksiat seperti pergaulan bebas, persetubuhan haram, pembuangan bayi, anak derhaka terhadap orang tua, murid tidak hormat kepada gurunya, gadis yang tidak segan silu mendedahkan aurat di khalayak, pemimpin tidak menunaikan amanah, peniaga tidak jujur dalam urusan jual-beli dan pelbagai lagi.

Keadaan itu membayangkan satu suasana tidak tenteram dan celaru dalam masyarakat yang sangat membimbangkan dan pasti memerlukan pencegahan dan pembanterasan dari semua pihak secara bersungguh-sungguh dan berterusan dari perancangan yang rapi dan bijaksana.

Ibu bapa yang dikira orang paling dekat dengan anak haruslah menanam bibit iman di jiwa mereka dan mendidik pengamalan sifat malu sejak kecil. Agar perbuatan keji, maksiat dan pelbagai perilaku yang menunjukkan kerendahan akhlak seseorang dapat disekat dan melahirkan insan yang berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara agar tidak tergelincir kepada kebencian masyarakat dan kemurkaan Allah SWT.

Sesuai dengan penjelasan dalam satu riwayat bahawa Umar berkata, “Barang siapa yang berasa malu maka akan bersembunyi. Barang siapa yang bersembunyi maka akan berhati-hati dan barang siapa yang berhati-hati, maka ia akan terjaga.”

Orang yang tidak malu sebenarnya sudah meletakkan maruahnya ke suatu sudut tanpa maruah. Tiada kebaikan yang diperolehnya melainkan kecelaan. Benar seperti disuarakan oleh seorang penyair; “Apabila engkau tidak takut akibat yang terjadi pada waktu malam, dan tidak malu maka perbuatlah segala apa yang engkau kehendaki. Demi Allah! tiada kebaikan yang bisa diharap dalam kehidupan ini dan tiada pula manfaat bagi dunia ini apabila sifat malu sudah sirna.

Seseorang tetap hidup dalam kebaikan selama dia memiliki rasa malu,”
Hal ini selari dengan pendapat yang dicetuskan oleh Ibn Qayyim jika bukan kerana sifat malu maka tamu tidak akan dihormati, janji tidak ditepati, amanah tidak ditunaikan dan keperluan seseorang tidak akan pernah dipenuhi, serta tidak akan berusaha mencari sifat terpuji untuk diamalkan dan mengenalpasti sifat tercela untuk dijauhi.

Kesimpulannya, malu membuahkan segala kebaikan sebagaimana tergambar dalam sabda Rasulullah SAW; “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (hadis riwayat Muslim)